Sabtu, 16 Mac 2013

AQIQAH



Soalan;
Akikah untuk Bayi lelaki. Bolehkah majlis akikah dibuat dua kali; Majlis akikah yang pertama seekor kambing, majlis akikah yang kedua (Hari yang berbeza) seekor lagi kambing. Atau satu bahagian lembu.

Jawapan;
Akikah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka'biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834).

Menurut ulama mazhab Syafie; harus dilakukan juga dengan dua tompok lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Akikah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama-sama kerana dapat segera terhasil pahala berakikah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulama; sekalipun akikah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala akikah. Nabi SAW sendiri, walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya.

Ibnu 'Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan akikah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).

Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi akikah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah akikah - apabila telah tiba waktunya - lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.

Masa terbaik melakukan akikah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina 'Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan akikah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran daripada kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).

Menurut ulama; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diakikahkan, maka gugur sunat tersebut daripada wali/ penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan akikah bagi dirinya (apabila dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Sabtu, 2 Mac 2013

Waktu Solat Menurut Al-Quran dan Sains



Solat menjadi Ibadah utama seorang muslim, kewajipan solat ini menjadi salah satu cara untuk berkomunikasi langsung seorang hamba dengan Tuhannya. Banyak hikmah di dapati berkaitan perintah solat ini. Baik secara kesihatan, psikologi, sains, dan masih banyak lagi hikmah yang lain. Salah satu hikmah diperintahkan solat sebanyak 5 (lima) waktu. Rahsia ini terungkap berdasar beberapa kajian dan pengamatan para ahli di bidangnya.

Perpindahan waktu adalah bahagian dari kekuasaan Allah swt yang mempunyai hikmah dan kekhususan pada masing-masing. Setiap peralihan waktu solat, sebenarnya bersamaan dengan terjadinya perubahan tenaga alam yang boleh diukur dan dapat dirasakan melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing lagi bagi mereka yang akrab dengan dunia fotografi.

WAKTU SUBUH
Pada waktu ini, alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersesuaian dengan frekuensi tiroid (kelenjar gondok). Dalam fisiologi, tiroid mempunyai pengaruh terhadap sistem metabolisme tubuh manusia. Warna biru muda juga mempunyai rahsia tersendiri berkaitan dengan rezeki dan cara berkomunikasi. Mereka yang masih tertidur pulas pada waktu Subuh akan menghadapi masalah rezeki dan komunikasi. Hal ini terjadi kerana tiroid tidak dapat menyerap tenaga biru muda di alam ketika ruh dan jasad masih tertidur. Pada saat Azan Subuh berkumandang, tenaga alam ini berada pada tingkatan optimum. Tenaga inilah yang kemudian diserap oleh tubuh kita terutama pada waktu ruku 'dan sujud.



WAKTU ZOHOR
Warna alam menguning dan berpengaruh terhadap perut dan sstem pencernaan manusia secara keseluruhan. Warna ini juga mempunyai pengaruh terhadap hati. Di samping itu warna kuning ini juga mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan seseorang. Jadi bagi mereka yang selalu ketinggalan atau melewatkan solat Zuhur berulang-ulang kali, akan menghadapi masalah dalam system penghadaman serta berkurang keceriaanya.


WAKTU ASAR
Warna alam berubah menjadi oren. Hal ini mempunyai pengaruh yang cukup signifikan terhadap keadaan prostate, uretus, ovary, testis dan sistem pembiakan secara keseluruhan. Warna oren di alam juga boleh mempengaruhi kreativiti seseorang. Orang yang kerap tertinggal waktu Asar akan menurun daya kreativitinya. Di samping itu, organ-organ pembiakan juga akan kehilangan tenaga positif dari warna alam tersebut.

MENJELANG MAGHRIB
Warna alam berubah menjadi merah. Pada waktu ini kita kerap mendengar nasihat orang-orang tua agar kita tidak berada di luar rumah. Nasihat tersebut ada benarnya, kerana pada saat Maghrib tiba, spectrum warna alam selaras dengan frekuensi jin dan iblis. Pada waktu ini jin dan iblis amat bertenaga kerana mereka bergema atau ikut bergetar dengan warna alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan sebaiknya berhenti sejenak dan mengerjakan solat Maghrib terlebih dahulu. Hal ini lebih baik dan lebih selamat kerana pada waktu ini, banyak interferns atau tumpang tindihnya dua atau lebih gelombang yang berfrekuensi sama atau hampir sama dan boleh menimbulkan fatamorgana yang boleh merosakkan penglihatan kita.

KETIKA WAKTU ISYA '
Alam berubah menjadi nila dan selanjutnya menjadi gelap. Waktu Isya 'menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian yang frekuensinya sesuai dengan sisitem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan waktu Isya 'akan sering merasa gelisah. Ketika alam mulai diselimuti kegelapan, kita dianjurkan untuk merehatkan tubuh ini. Dengan tidur di waktu tersebut, keadaan jiwa kita berada pada gelombang Delta dengan frekuensi di bawah 4 Hz dan seluruh sistem tubuh memasuki waktu rehat. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna-warna putih, merah jambu, dan kemudian ungu. Perubahan warna ini selaras dengan frekuensi kelenjar Pineal (otak kecil), kelenjar Pituitary (bawah otak), thalamus, dan hypothalamus. Maka kita sepatutnya bangun dari tidur, dan pada waktu-waktu ini kita mengerjakan solat malam. Wallahu 'alam Bishowwab. (Aneka Sains)

Sabtu, 16 Februari 2013

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W



Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Selasa, 12 Februari 2013

Hukum Membaca Al Quran Secara Langsung Dari Mushaf (Al Quran) Ketika Solat




Hukum Membaca Al Quran Secara Langsung Dari Mushaf (Al Quran) Ketika Solat
Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Soal Jawab Ibadah
Jawapan oleh Profesor Dr Ali Jum’ah (Mufti Mesir) :
Saidatina Aisyah RadiyaLLahu’anhu pernah diimami solatnya oleh seorang maula (budak lelaki yang telah dimerdekakan) miliknya yang bernama Zakwan. Pada saat mengimamkannya itu, dia (Zakwan) membaca dari mushaf.
(Disebutkan oleh Bukhari secara ta’liq (tanpa menyebutkan salah satu atau semua sanad, dan penyebutan dengan kalimah pasif). Sahih Bukhari, vol 1 hlmn 245, Bab Imamat al Abdi wa Al Maula; diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 2, hlmn 123; dan Baihaqi, As Sunan Al Kubra, vol 2, hlmn 253).
Oleh itu, para alim ulama dari Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali berpendapat boleh melakukannya.
Pendapat mazhab ini disampaikan oleh Imam Nawawi; beliau berkata, :
Seandainya dia membaca Al Quran dari mushaf, tidak batal solatnya, baik dia hafal atau tidak. Malah, wajib baginya melakukan itu (membaca dari mushaf) sekiranya dia tidak menghafal al Fatihah. Seandainya dia membolak-balikkan lembarannya (al Quran) di dalam Solat, tidak batal solatnya.
Demikian dinyatakan oleh Imam Shafie secara nas di dalam Al Imla dan diterapkan oleh para sahabat (ulama’ mazhab kami). – Imam Nawawi, Al Majmu’, vol 4, hlmn 27.
Syaikh Rahibani mengambil pendapat Imam Ahmad radiyaLLahu ‘anhu, beliau berkata, ” Boleh bagi orang yang solat (membaca, melihat dan memandang mushaf), iaitu melihat al Quran.
Imam Ahmad berkata “Tidaklah mengapa dia melakukan solat malam (qiyamulail) dengan orang-orang lain dengan dia melihat mushaf.” Ditanyakan kepada Imam Ahmad radiyaLLahu anhu. “Bagaimanakah dengan solat fardhu”? Imam Ahmad menjawab, Aku tidak mendengar sedikitpun tentang hal itu.
Az Zuhri pernah ditanya tentang seorang lelaki yang membaca mushaf (ketika di dalam solat) di bulan Ramadhan. Beliau (az Zuhri) menjawab,
“Orang-orang yang terpilih (tokoh-tokoh) di antara kami membaca al Quran dari mushaf-mushaf
:. – Syaikh Ar Rahibani, Mathalib Ulin Nuha, vol 1, hlmn 483 dan 484.
Hanya pada kalangan ulama Mazhab Maliki sahaja yang menyatakan hukumnya (membaca mushaf) adalah makruh ketika sedang solat fardhu atau solat sunat. Sementara pada ulama’ Mazhab Hanafi adalah berbeza-beza pendapat di kalangan mereka.
Atas dasar ini, kami berpandangan adalah rajih dan kuatnya pendapat majoriti (kebanyakan) besar pada ulama’ bahawa membaca al Quran dari mushaf di dlam solat itu adalah sah dan tidaklah ada dosa padanya (membaca al Quran dari mushaf). Dan ALlah subahanahu wa ta’ala. Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.
Sumber :
Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor